Pages

Online TV

Sunday, July 18, 2010

PIALA DUNIA DAN YANG PERTAMA

Semuanya Pertama

PIALA Dunia 2010 memecah rekod apabila ia diadakan di bumi Afrika, dengan pasukan Sepanyol menyertai pasukan elit juara dunia, ia membawa dua perkara pertama kali direkodkan dalam sejarah kejohanan. Hakikatnya, keseluruhan kejohanan dipenuhi dengan perkara belum pernah berlaku, daripada keputusan pasukan hinggalah pencapaian pemain. Berikut senarai penuh perkara yang pertama kali berlaku pada Piala Dunia kali ini.



Slovenia dan Greece masing-masing mencipta kejutan di Piala Dunia apabila menang di Afrika Selatan, Slovenia menewaskan Algeria 1-0 hasil jaringan Robert Koren dan jiran Eropah mereka (Greece) turut membenam Nigeria 2-1.



Jepun juga mencipta kemenangan malah menang pertama kali Piala Dunia di luar negaranya sendiri apabila mengalahkan Cameroon 2-1 pada perlawanan pembukaan, lapan tahun selepas mereka menewaskan Tunisia 2-0 di Osaka.



Bagi New Zealand, keputusan seri 1-1 dengan Slovakia pada perlawanan pembukaan adalah mata pertama di Piala Dunia berikutan kalah semua tiga perlawanan pada 1982, Kiwis mengekalkan rentak mereka dengan keputusan seri 1-1 dengan Itali dan 0-0 dengan Paraguay.





Gol pertama

Gol penyamaan Dimitrios Salpingidis ketika menentang Nigeria mengakhiri kemarau gol Greece di Piala Dunia, jaringannya itu muncul selepas 404 minit bersamaan empat perlawanan tanpa sebarang gol. Denmark pula tersingkir apabila dibelasah Jepun 3-1, jaringan tiga gol pertama kali Jepun di pusingan akhir Piala Dunia.



Sementara itu, jaringan penyamaan pemain tengah Michael Bradley ketika Amerika Syarikat (AS) seri dengan Slovenia adalah gol pertama skuad dibimbing ayahnya yang menjadi jurulatih AS.



Penalti pertama
Vladimir Stojkovic boleh berbangga apabila menjadi penjaga gol Serbia pertama menyelamatkan sepakan penalti di Piala Dunia apabila menepis keluar sepakan pemain Jerman, Lukas Podolski. Berbeza pula nasib David Villa yang menjadi pemain Sepanyol pertama gagal menyempurnakan sepakan penalti sekali gus gagal mencipta jaringan hatrik sesudah sepakan penaltinya menentang Honduras tersasar.



Sepanyol bagaimanapun boleh berbangga kerana penjaga gol, Iker Casillas menjadi penjaga gawang pertama juara dunia itu menyelamatkan sepakan penalti pada dua Piala Dunia berbeza. Pemain Real Madrid itu menyelamatkan sepakan penalti pemain Ireland, Ian Harte pada Piala Dunia Jepun/Korea 2002 dan selepas itu mengecewakan Oscar Cardozo dari Paraguay pada saingan suku akhir.



Selain itu, Asamoah Gyan meletakkan namanya dalam buku sejarah apabila menjadi pemain pertama gagal menyempurnakan sepakan penalti di edisi Piala Dunia berlainan, apabila gagal dalam cubaannya ketika menentang Republik Czech di Jerman pada tahun 2006 dan kemudian gagal ketika menentang Uruguay pada saingan suku akhir.



Pemain Pertama Kali
Cuauhtemoc Blanco boleh bermegah apabila dia adalah pemain Mexico pertama menjaringkan gol pada tiga kejohanan Piala Dunia berbeza dengan menambahkan gol di Afrika Selatan apabila menjaringkan gol ketika menentang Perancis. Rigobert Song tidak diturunkan oleh Cameroon pada kejohanan kali ini, namun dia pulang ke tanah air dengan rekod sebagai pemain Afrika pertama muncul empat kali di Piala Dunia.



Agak menyedihkan apabila pemain Nigeria, Sani Keita dan pemain Switzerland, Valon Behrami menjadi pemain pertama negara masing-masing mendapat kad merah pada pusingan akhir Piala Dunia selepas mereka dibuang padang ketika menentang Greece dan Chile.



Peningkatan Pertama



Paraguay melangkah ke suku akhir buat pertama kali di Afrika Selatan. Bagi Afrika Selatan, mereka menjadi negara tuan rumah Piala Dunia pertama tersingkir pada saingan peringkat kumpulan.



Pasukan Pertama Kali



Kemenangan 1-0 Chile ke atas Honduras dan Switzerland adalah kemenangan Piala Dunia sulung mereka di luar Amerika Selatan, La Rojas sebelum ini mencipta kemenangan ke atas Uruguay pada 1930, Brazil 1950 dan Chile 1962.



Algeria mencipta rekod tanpa bolos pertama di peringkat antarabangsa selepas seri tanpa jaringan dengan England, sementara Paraguay menjuarai kumpulan mereka buat pertama kali. Belanda pula berjaya mengatasi rekod skuad sebelum ini apabila menang ketiga-tiga perlawanan kumpulan mereka.



Akhir sekali barisan pasukan yang melangkah ke peringkat suku akhir tidak pernah seperti ini sebelum ini apabila pasukan Amerika Selatan mengatasi pasukan dari Eropah dengan empat berbanding tiga, namun Benua Tertua itu muncul mengatasi semua benua apabila Sepanyol menjulang trofi Piala Dunia buat pertama kali dalam sejarah.

Metro Ahad : 2010/07/18