Pages

Online TV

Monday, October 18, 2010

MENJELANG SEPARUH AKHIR PIALA MALAYSIA 2010

Red Warriors Tak Dabik Dada
Oleh Adnan Mohamad
bhsukan@bharian.com.my
2010/10/19


KEMENANGAN 3-0 ke atas Selangor, bukan tiket untuk Kelantan berbangga diri menjelang perlawanan menentang Kedah di Stadium Darulaman, malam esok. Meskipun kini dilabel pasukan pilihan selepas menyingkirkan Selangor, pengendali Kelantan, B Sathianathan lebih cenderung untuk menganggap barisannya sebagai ‘underdog’ apabila berdepan Kedah kali ini.

Ini kerana, Sathia akur kepada rekod pertemuan antara dua pasukan terbabit sepanjang Liga Super dan Piala FA tahun ini yang lebih memihak Kedah manakala reputasi selaku juara beberapa kali mengesahkan kehebatan barisan Ahmad Yusoff.

“Dari segi pemain saja, Kedah memiliki kelebihan dengan lima pemain skuad kebangsaan, berbanding hanya dua bersama Kelantan ketika ini. Kehadiran mereka menunjukkan Kedah amat berbahaya dan perlu diawasi jika mahu menang.

“Keupayaan Kedah menundukkan Terengganu, 3-0 di Stadium Darulaman baru-baru ini memang mengejutkan kerana bukan sebarang pasukan yang boleh melakukannya. Lantaran itu, saya menyifatkan kunjungan ke Alor Setar kali ini cukup getir dan Kelantan perlu berhati-hati.

“Walaupun dua pemainnya, Mohd Sabre Mat Abu dan Khairul Helmi Johari, dikatakan tidak dapat beraksi, Kedah masih mempunyai pemain lain yang mampu menggugat pertahanan Kelantan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sathia berkata, dia masih menumpukan usaha memantapkan persefahaman antara pemainnya kerana mahu mereka mengekalkan corak permainan kemas seperti ketika bertemu Selangor, Jumaat lalu dan kepakaran dua tonggak, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Badhri Radzi, sekali lagi ditagih.
“Saya mahu semua pemain berusaha sebaik mungkin untuk membawa bekalan jaringan selesa sebelum mempertahankannya di kubu sendiri Sabtu ini,” katanya.