Pages

Online TV

Wednesday, January 5, 2011

United Makin Kukuh

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Alex Ferguson gembira apabila anak buahnya memenuhi sasaran menyingkap tirai tahun baru dengan kekal di tangga teratas Liga Perdana Inggeris dan kemenangan 2-1 ke atas Stoke pantas membuatkan pengendali itu menyuarakan amaran terhadap pencabar mereka.

Gol Javier Hernandez serta Nani menenggelamkan jaringan penyamaan Dean Whitehead di Old Trafford, semalam dan kemenangan itu membolehkan United mengatasi Manchester City tiga mata buat tempoh sekurang-kurangnya 24 jam sebelum musuh setempat itu bertandang ke Arsenal.

Ferguson, 69 tahun minggu lalu berkata, sejarah membuktikan pasukannya adalah pilihan menjuarai gelaran liga buat kali ke-19 dan menyebut bulan depan sebagai tempoh paling getir buat skuadnya.

“Kami gembira dengan situasi ini. Saya pada mulanya fikir kedudukan kami bakal diancam.

“Apabila melangkah ke tahun baru, ia selalunya memberikan pedoman hala tuju hujung musim dan sejarah membuktikan kami bermain lebih baik pada babak kedua musim dan perlawanan besar biasanya bukanlah masalah buat kami. Kami sedar dengan hakikat berkenaan.

“Januari bulan yang mencabar buat kami. Kami akan menentang Liverpool pada saingan Piala FA dan bertemu Tottenham minggu depan,” kata Ferguson ketika ditanya mengenai kedudukan mereka sekarang. Meskipun persembahan United yang turun tanpa Edwin van der Sar, Wayne Rooney dan Rio Ferdinand tidak begitu meyakinkan tapi kemenangan itu bermakna hanya West Bromwich Albion - yang seri Oktober lalu- muncul pasukan tunggal berjaya membawa pulang mata dari Old Trafford musim ini.

Tapi United kekal pasukan yang belum tewas setakat ini dan Ferguson mempertahankan tindakannya ketika membuat beberapa pertukaran ketika menentang Stoke dengan berkata: “Ia bulan yang sibuk buat kami dan penting untuk mendapat khidmat semua pemain.

“Anda perlu yakin dengan pasukan dan itulah yang saya lakukan. Dalam setiap perlawanan, pemain tidak pernah mengecewakan saya.” “Anda boleh melihat sendiri statistiknya - cubaan ke arah gol, hantaran dan perkara lain,” kata Ferguson. “Kalau melihat kepada prestasi di tempat sendiri, ternyata ia tidak mengecewakan.

“Di tempat lawan, kami mempamerkan dua persembahan buruk - Sunderland dan ketika menentang West Brom. Selain itu, kami mencatat aksi baik. Kami ada terlepas mata tetapi ia tidak bermakna kami bermain buruk.

“Kami sering menjadi sasaran perkara seperti itu. Kami perlu lupakan semuanya dan menumpukan perhatian terhadap impian memenangi kejuaraan liga musim ini.” - AFP

Harian Metro : 6 Januari 2011