Pages

Online TV

Tuesday, March 29, 2011

Kelantan Medan Pamer Kekuatan


Jika dulu pasukan atau penyokong lawan seperti Selangor, Pahang, Kedah, Terengganu, T-Team dan pasukan lain tidak mengambil serius perlawanan menentang Kelantan tetapi sejak dua tahun kebelakangan ini pertemuan menentang Kelantan cukup beri perhatian oleh pasukan dan penyokong lawan.

Oleh itu tidak hairanlah jika kemenangan Pahang menewaskan Kelantan 2-0 pada saingan liga Super lalu kini menjadi kebanggaan penyokong Pahang untuk menyaksikan dan memeriahkan perlawanan yang melibatkan Pahang. Perkara ini di akui sendiri oleh Setiausaha Kelab Penyokong TokGajah.com, Aiman Ahmad Dahalan di dalam KOSMO 29 Mac 2011, kemenangan ini bagai memberi suntikan semangat kepada penyokongnya kembali memeriahkan bolasepak Pahang.

Begitu juga dengan perlawanan Kelantan menentang Selangor yang sering menjadi tarikan ramai penyokong mereka ke stadium berbanding pertembungan dengan pasukan lain. Malah turut dibuktikan oleh penyokong T-Team sebuah kelab yang berkongsi penyokong dengan pasukan negeri menyaksikan kehadiran ramai penyokong mereka ketika perlawanan pertama Piala FA lalu. Penambahan kehadiran penyokong berlipat ganda turut berlaku di Alor Star ketika pertarungan Kedah menentang Kelantan dan ianya satu fenomena berbeza jika perlawanan Kedah menentang pasukan lain.

Bagi penyokong Kelantan pula, situasi ini di sambut baik oleh mereka kerana tiada lagi masyarakat memandang pelik hanya penyokong Kelantan sahaja yang fanatik dan gilakan bolasepak Malaysia sedangkan masyarakat negeri lain tidak merasai kehangatan liga Malaysia. Apa yang di rasai masyarakat negeri lain berkaitan kehangatan liga eropah, kini sudah mula menjengah kemeriahan liga Malaysia pula. Meskipun terbukti penyokong Kelantan sentiasa tidak lupa menghangat bolasepak Malaysia dan luar negara, sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan bagi setiap kali perlawanan Kelantan, mereka akan berpusu-pusu ke kedai makan atau restoran atau pulang ke rumah untuk menyaksikan perlawanan liga perdana inggeris atau perlawanan antarabangsa lain.

Bolasepak adalah jiwa mereka, biar tidak pandai menyepak bola asalkan mereka hebat berbicara pasal bolasepak, jiwa inilah telah melahirkan bakat-bakat baru yang berwibawa di pentas bolasepak Malaysia sekarang. Boleh di katakan seluruh pasukan di Malaysia ada diwakili anak-anak Kelantan. Bagi peminat bolasepak Kelantan, apabila dapat berbicara berkaitan bolasepak dengan baik seolah-olah dirasakan bagai memakai pakaian berjenama tersohor dunia dan orang sedang memerhatikan dirinya.

Sementara itu, Datuk M Karathu ketika pertama kali ke Kelantan januari lalu dan disoal oleh wartawan kenapa dia memilih Kelantan, Datuk M Karathu menjawab dengan nada ringkas, “Kemeriahan bolasepak di Kelantan seperti kemeriahan bolasepak di Brazil”. Begitu juga dengan luahan jurulatih anak kelahiran Irfan Bakti yang telah dua musim melatih Terengganu berpendapat ” kemeriahan penyokong dan bolasepak Kelantan seperti di eropah dan liga EPL”.

Tidak mustahil dan ianya bakal berlaku di Kelantan stadium dan pasukan bolasepak akan menjadi ikon pelancongan bagi pelancong dari luar Kelantan mahupun luar negara, sepertimana berlaku bagi pasukan-pasukan besar di England. Pelancong akan merasa tidak lengkap tanpa berkunjung ke stadium atau muzium sejarah bolasepak Kelantan.

Kini gelagat dan kemeriahan penyokong Kelantan di cemburui dan menjadi ikutan penyokong pasukan lain, namun insiden-insiden buruk lampau tetap menjadi sebutan masyarakat Malaysia. Kegemilangan bolasepak pada hari ini diharap menjadikan para penyokong Kelantan lebih berhati-hati dalam tindakan mereka dan sekaligus dapat menutup segala kontroversi lalu dengan kehebatan serta azam baru penyokong Kelantan melalui kebaikan.

Syukur juga tanggapan seorang jurulatih yang kini sudah meletakkan jawatannya berpendapat ” jika ingin menewaskan Kelantan dan penyokong Kelantan, pasukan lawan harus merosakkan emosi pemain dan penyokong Kelantan dengan api kemarahan kerana dengan perasaan ini sahaja mampu merobek semangat penyokong Kelantan.” namun tanggapan sebegini tidak bererti lagi kepada pemain-pemain sekarang yang rata-rata memiliki tahap kesabaran paling tinggi dan begitu juga dengan kemarahan penyokong yang akan hilang dengan hanya balingan plastik air batu sahaja. Ianya sudah menjadi satu era baru tahap kesabaran penyokong Kelantan.

Insiden penyokong pasukan lain suka mencetus provokasi kepada penyokong Kelantan tidak lagi dilayan oleh penyokong Kelantan. Maklumlah kamera media mahupun FAM hanya difokus mengkandid gelagat atau keburukan penyokong Kelantan sahaja. Hanya kita sahaja yang mampu mengubah tanggapan semua pihak dengan menghormati segala larangan yang ditetapkan pihak stadium. Tiada guna kita terpekik terlolong memarahi masyarakat lain tentang perangai penyokong kita sedangkan perkara ini masih terbukti berlaku di setiap stadium yang di takluki kita. Yakinlah kita semua mampu mengubahnya. Peduli apa orang kata, yang penting kita sudah mengubahnya.

Semoga sebuah kejayaan yang dimiliki ini terus kekal abadi bersama roh-roh yang telah disemadikan di bumi Kelantan dan akan menjadi pemangkin ke arah kejayaan generasi lain pada setiap masa. Semoga dipermudahkan segala urusan memiliki stadium baru oleh-NYA yang maha esa.

Gomo Kelate Gomo.