Pages

Online TV

Monday, August 17, 2009

Rooney tanpa Ronaldo

Rooney dicabar atasi 20 jaringan

MANCHESTER, England - Sir Alex Ferguson mencabar Wayne Rooney supaya mengatasi jumlah 20 gol jaringannya musim lalu selepas penyudah penyerang United itu memadai untuk Manchester United menang 1-0 ke atas Birmingham City di Old Trafford kelmarin.
Jaringan Rooney pada minit ke-34 memberi kelainan ketika United bergelut akibat ketiadaan pertahanan tengah, Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic yang cedera, untuk merekodkan kemenangan pada hari pembukaan kempen mereka.
Ferguson berkata: ''Dia menyempurnakan jaringan dengan baik. Tandukannya amat baik dan dia membuat susulan bola melantun dengan pantas dan reaksinya itu menuju ke arah yang tepat.
"Saya harap jaringan itu akan memberikan dia laluan yang betul selepas jaringannya minggu lalu.
"Lebih penting jaringannya adalah untuk kami pada seluruh musim kerana adalah bagus jika anda ada dua atau lebih penyerang yang boleh memberikan anda lebih 20 gol. Dia mempunyai keupayaan itu dan kami tidak meminta yang mustahil daripadanya.''
United, yang memburu kejuaraan liga empat berturut-turut musim ini, bermula positif ketika mereka mahu membuktikan kelab itu masih memiliki potensi serangan tanpa Cristiano Ronaldo yang menyertai Real Madrid Jun lalu.
Dimitar Berbatov gagal menyempurnakan peluang terbaik di awal permainan di dalam kawasan penalti apabila penjaga gol pasukan lawan, Joe Hart meluru lebih awal.
Rooney juga mempunyai peluang gol daripada bola melantun namun ia digagalkan oleh pertahanan Birmingham yang komited.
Hart sekali lagi berada pada tahap terbaik tidak lama selepas itu apabila sepakan lencung Rooney dari jarak 20 meter yang tepat ke penjuru gawang, berjaya ditolak melepasi palang menerusi aksi akrobatik.
Birmingham turut cuba untuk menggegar gawang menerus gerakan James McFadden yang membuat hantaran dari sebelah kiri.
Namun, tiada rakan sepasukan yang menanti di dalam kawasan penalti United apabila pasukan pelawat 'berkampung', polisi yang ternyata berhasil sehinggalah Rooney akhirnya menghasilkan jaringan.
Rooney menyaksikan tandukannya hasil hantaran silang Nani terkena tiang, namun tuah memihak kepadanya apabila bola tepat menghala ke arahnya untuk pemain itu mudah menolak bola melepasi garisan gol.
Pada babak akhir separuh pertama, Birmingham sepatutnya mendahului 2-1.
Pertama, sepakan deras Cameron Jerome dari jarak 20 meter tersasar selepas terkena Paul Scholes.
Keduanya, bermula daripada sepakan sudut, Patrice Evra terpaksa melakukan tandukan terbang untuk mengeluarkan bola dari atas garisan gol hasil percubaan Franck Queudrue.
Babak pertama juga sepatutnya berakhir dengan gol kedua untuk United, tetapi percubaan Darren Fletcher tidak tepat selepas gerakan menarik dengan Evra di sudut kanan.
Selepas rehat, percubaan jarak jauh Rooney ditangkap kemas oleh Hart, namun rentak permainan tidak serancak babak pertama.
Lee Carsley menjadi penyelamat Birmingham apabila dia menafikan percubaan Berbatov pada minit ke-70, sebelum pasukan pelawat melepaskan peluang keemasan pada 12 minit terakhir perlawanan.
Namun, Christian Benitez gagal menewaskan Foster hasil percubaan jarak dekat apabila penjaga gol United itu menepis bola keluar dari pintu gol.
Sementara itu, pengurus Birmingham, Alex McLeish berpuas hati dengan percubaan pasukannya dan kagum kerana kerana para pemainnya tidak mengendurkan cabaran walaupun menentang pasukan juara itu di Old Trafford.
Katanya: ''Kami perlu menggunakan perlawanan ini untuk meningkatkan keyakinan, kami boleh beraksi pada perlawanan seterusnya bersama bukti mengenai prestasi hebat ini.
"Ia amat menggalakkan. Para pemain wajar mendapat pujian daripada perlawanan ini kerana mereka beraksi di tempat lawan tanpa rasa takut.'' - AFP

(Utusan Malaysia : 18 Ogos 2009)

No comments:

Post a Comment