Pages

Online TV

Monday, August 31, 2009

Wenger dakwa United main kotor

LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mendakwa, Manchester United menggunakan taktik 'anti-bola sepak' ketika menundukkan pasukannya 2-1 di Old Trafford, Sabtu lalu.

Jurulatih kelahiran Perancis itu berkata, taktik kotor United memberi kesan lebih buruk kepada permainan berbanding tuduhan sengaja menjatuhkan badan yang sedang dihadapi oleh penyerangnya, Eduardo da Silva yang kini masih disiasat badan bola sepak Eropah, UEFA.

Wenger berang dengan sikap pemain-pemain United yang melakukan banyak kesalahan untuk menganggu perjalanan permainan, termasuk melakukan kekasaran agresif terhadap pemainnya.
Namun, apa yang membuatkan dia lebih berang, kebanyakan pemain United terlepas daripada kekasaran yang dilakukan, malah pasukan itu hanya menerima tiga kad kuning berbanding enam yang dilayangkan kepada pemain-pemainnya.

"Apa yang saya nampak, ada pemain-pemain yang berada di atas padang hanya untuk melakukan kesalahan, dan pada saya tindakan itu sebenarnya lebih terdesak berbanding sengaja menjatuhkan badan.

"Pemain-pemain ini, langsung tidak dikenakan hukuman, mereka meninggalkan padang tanpa kad kuning. Pada saya, apa yang dilakukan oleh mereka adalah sikap 'anti-bola sepak' yang lebih teruk daripada apa yang dilakukan oleh Eduardo,'' kata Wenger kepada media Britain.

Eduardo masih disiasat oleh UEFA selepas didakwa sengaja menjatuhkan badannya untuk mendapat penalti ketika menentang Celtic pada peringkat kedua Liga Juara-Juara Eropah, yang dimenangi Arsenal 3-1.

Kekalahan 1-2 kepada United merupakan kekalahan pertama anak-anak buah Wenger dalam saingan liga domestik musim ini, selepas mereka bermula baik dengan mendahului 1-0 menerusi jaringan Andrei Arshavin pada babak pertama.

Perlawanan juga berakhir dengan Wenger diarah meninggalkan bangku simpanan selepas menendang botol kerana terlalu kecewa apabila gol penyamaan Robin van Persie pada saat genting dibatalkan kerana rakan sepasukannya, William Gallas sudah ofsaid.

Badan pengadil Liga Perdana England bagaimanapun menyedari bahawa mereka telah melakukan keputusan yang salah, dan meminta maaf kepada jurulatih itu.

"Lihatlah, betapa banyaknya kesalahan yang dilakukan oleh pemain-pemain lawan dan mereka terlepas daripada hukuman.

"Ini merupakan masalah besar kerana ia menyebabkan perjalanan perlawanan terganggu. Orang datang ke stadium untuk melihat permainan bola sepak, bukan sepakan percuma,'' tegasnya lagi. - Reuters
(Utusan Malaysia: 1 September 2009)

No comments:

Post a Comment