Pages

Online TV

Monday, March 15, 2010

GLORY GLORY UNITED

United Kembali Ke Puncak Liga

MANCHESTER - Manchester United berjaya menebus kekalahan kepada Fulham musim ini selepas mencatat kemenangan dengan jumlah gol yang sama 3-0 di Stadium Old Trafford, semalam.

Kemenangan anak buah Alex Ferguson itu membolehkan mereka kembali berada di puncak Liga Perdana England memintas Chelsea dengan kelebihan dua mata.

Wayne Rooney sekali lagi muncul wira pasukan Red Devils itu selepas meledakkan dua gol pada separuh masa kedua, sebelum Dimitar Berbatov melengkapkan kemenangan bergaya pasukan tuan rumah itu dengan menjaringkan gol ketiga.

Bagaimanapun, pada aksi separuh masa pertama kedua-dua pasukan buntu untuk mencari gol walaupun pasukan pelawat terlebih dahulu melakukan serangan menerusi rembatan Clint Dempsey pada minit kedua tetapi menuju tepat ke arah Edwin van der Sar.

Tersentak dengan serangan tersebut, United mula mengatur strategi pada minit ketujuh dari sebelah kiri yang dimulakan melalui hantaran silang Nani kepada Berbatov, namun pemain Bulgaria itu gagal menanduk tepat ke arah pintu gol.

United mula membuktikan kehebatan mereka pada 10 minit terakhir perlawanan separuh masa pertama dengan melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah pintu gol Fulham.

Pada minit ke-34, rembatan Darren Fletcher hasil gerakan Nani dan Berbatov juga tidak membuahkan sebarang hasil apabila ia berjaya dihalang pertahanan kanan Fulham, Stephen Kelly.

Selang seminit kemudian giliran Rooney pula membuat gerakan satu dua dengan Berbatov, namun rembatan jarak jauh yang dilakukannya dihalang oleh dua pertahanan lawan yang merebahkan badan serentak.

The Cottagers cuba untuk mengimbangi serangan United dengan melakukan serangan pada minit ke-37, namun sepakan lambung Bobby Zamora yang menerima hantaran cantik Danny Murphy tidak menepati sasaran.

Empat minit sebelum separuh masa pertama tamat, Nani berjaya membawa bola sehingga ke dalam petak penalti Fulham tetapi Kelly berjaya menghalang niat pemain Portugal itu yang ingin melakukan rembatan ke arah gawang golnya.

Kerajinan United melakukan serangan bertubi-tubi ke kawasan Fulham akhirnya berbayar sebaik sahaja perlawanan separuh masa kedua bersambung apabila Rooney menjaringkan gol dengan menyudahkan hantaran Nani pada minit ke-46 hasil gerakan satu dua.

Fulham pula seperti tidak bermaya pada separuh masa kedua dengan hanya melakukan satu percubaan melalui Damien Duff di minit ke-49 selepas ketinggalan 1-0.

Rooney menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-82 selepas Berbatov berjaya memperdayakan pertahanan lawan sebelum melakukan hantaran kepada penyerang England itu yang melepaskan rembatan ke arah penjuru pintu gol lawan.

Gol ketiga United menjelma lima minit kemudian selepas Park Ji-Sung melakukan hantaran dari sebelah kiri menuju ke dalam petak penalti Fulham dan Berbatov berjaya menanduk dari jarak lapan meter. - Agensi

(Utusan Malaysia : 15 Mac 2010)



Rooney Terus Meledak

MANCHESTER: Jaringan berganda Wayne Rooney dan satu lagi gol lewat babak permainan daripada Dimitar Berbatov membantu Manchester United melonjak kembali selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Fulham 3-0, malam tadi.
 
Barisan Sir Alex Ferguson sebelum ini menyerahkan status berkenaan kepada Chelsea buat tempoh 24 jam tetapi juara bertahan itu kini mendahului The Blues dengan dua mata dengan Arsenal yang menewaskan Hull City 2-1 kelmarin berada di tempat ketiga.
 
Rooney meledakkan gol pertama tuan rumah 30 saat selepas rehat di Old Trafford dan menambah gol kedua pada babak akhir sebelum Berbatov menanduk gol ketiga United pada minit terakhir. United sebelum ini tewas 3-0 di Fulham awal musim ini tetapi Rooney yang sudah menjaringkan 16 gol dalam 11 penampilan buat United, melemahkan semangat lawan apabila menyudahkan hantaran lintang Nani untuk menewaskan Mark Schwarzer dari jarak 10 ela.
 
Penyerang England itu memuktamadkan keputusan apabila menolak masuk hantaran lintang Berbatov pada minit ke- 84 untuk menjadikan jumlah keseluruhan 32 dalam semua kejohanan.

Berbatov melengkapkan kemenangan apabila melayangkan badan untuk menanduk lintangan pemain sayap Korea Selatan, Park Ji-Sung pada minit ke-89. – AFP
 
(Berita Harian : 15 Mac 2010)
 
 
Rooney Terus Pamer Sengat
 
LONDON: Penyerang prolifik Manchester United, Wayne Rooney terus memastikan pasukan itu berada di takhta Liga Perdana Inggeris apabila dua jaringannya ke atas Fulham, memastikan mereka membawa pulang tiga mata apabila menang 3-0 di depan penyokong sendiri, semalam.

Semua jaringan terbabit disempurnakan pada separuh masa kedua dengan satu lagi gol disumbangkan Dimitar Berbatov pada minit ke-88 .

Kemenangan itu membolehkan United mengumpul 66 mata, dua mata di depan Chelsea dan Arsenal manakala Rooney yang turut melakar rekod cemerlang musim ini, berbangga apabila mengumpul 32 gol dalam semua kejohanan sebaik berakhir perlawanan itu. Rooney menemui peluang terhidang seawal minit pertama separuh masa kedua apabila hantaran Nani meluncur tepat ke kakinya. Berada di depan petak penalti, rembatan kemasnya gagal diselamatkan penjaga gol Fulham, Mark Schwarzer.

Jaringan kedua pula berlaku pada minit ke-83, sebaik dia menyambut hantaran Berbatov dan menyudahkannya di bahagian sudut kiri gawang lawan. Separuh masa pertama berlangsung tanpa sebarang jaringan apabila percubaan pemain kedua-dua pasukan gagal mencari penyudah tepat untuk gol pertama, biarpun dominasi perlawanan tampak memihak kepada anak buah Sir Alex Ferguson.

Fulham terlebih dahulu mengasak kubu United seawal minit pertama menerusi sepakan Clinton Dempsey tapi berjaya diselamatkan penjaga gol, Edwin Van der Sar tapi tidak lama selepas itu Luis Nani cuba membolosi gawang lawan namun berjaya dihadang Danny Murphy. Berbatov pula kemudiannya cuba menyambut sepakan penjuru Antonio Valencia, untuk rembatan di dalam petak tapi tersasar ke bahagian kanan gawang.

Rooney yang dilihat menjadi nadi United turut beberapa kali cuba untuk membolosi gawang Fulham tapi percubaannya tidak menjadi, sama ada diselamatkan Schwarzer mahupun melayang melepasi gawang.

Separuh masa kedua, terus memberi kelebihan buat United sebaik Rooney memastikan pasukannya berada di depan.

Begitupun percubaan beberapa pemain United antaranya Patrice Evra, Darren Fletcher dan Berbatov, masih belum berupaya menambah jaringan sehinggalah jaringan Rooney dan Berbatov meletakkan United terus selesa sehingga tamat perlawanan. - Agensi


(Harian Metro : 15 Mac 2010)

No comments:

Post a Comment